Saturday 4 January 2014

Dalam mimpi tu, mama cantik sangat.. Saya terfikir-fikir kenapa.





Entry lepas saya ada bercerita tentang saya jumpa mama. Mama cantik sangat dalam mimpi tu. Saya memang terfikir-fikir kenapa. Waktu tu baru saya perasan, sepanjang hidup mama, mama memang tak bertabarruj. Sepanjang hidup mama, mama sangat bersederhana. Moga ALLAH rahmati mama. Seingat saya tak lebih dari 5 kali dalam hidup saya, saya tengok mama keluar pakai seluar. Mama memang keluar rumah akan pakai baju kurung dan tudung labuh je. Sama dengan nenek saya. Semoga ALLAH berkati mama. Dan, mama memang tak pernah paksa abah belikan baju baru untuk dia. ALLAH.. moga mama tenang di sana. Dalam setahun, baju baru yang mama beli paling banyak pun 3 pasang je seingat saya. Mama sangat bersederhana. Mungkin sebab tu ALLAH bagi mama pakai pakaian yang cantik macam tu dekat sana.

Mama, waktu keluar rumah, mama memang tak suka pakai baju yang shining-shining. Seingat saya, mama ada satu baju yang color kuning. Dan kuning tu memang shining sangat. Mama pakai sekali je baju tu, pastu terus mama tak pakai. Sebab mama kata color tu menarik perhatian orang. Moga ALLAH sayangi mama. Mama jugak tak pernah pakai make up. Kalau pakai bedak dan lipstik tu ada la sikit. Tapi sikit sangat mama pakai. Kadang tu memang tak pakai pun. Mama tak pernah paksa abah beli make up untuk dia. Saya memang tak pernah tengok mama pakai pemerah pipi, eye liner, eye shadow, maskara dan sebagainya. Moga saya dapat contohi mama.

Mama rajin baca quran. Selalu pagi-pagi mama akan bangun awal. Solat dan siapkan pakaian untuk kami ke sekolah. Mama sediakan sarapan sebelum pergi sekolah. Pastu lepas kami pergi sekolah, mama pergi PASTI. Mama mengajar PASTI sejak sebelum mama kahwin dengan abah sampailah hari mama sakit. Lepas balik mengajar, mama sediakan makanan untuk kami. Bila balik sekolah, kami kena paksa minum dan makan. hehe. Memandangkan saya dan adik perempuan saya memang susah betul nak makan. Kena paksa baru makan. Sambil tunggu kami balik sekolah, mama baca quran. Lepas kami balik, kami makan dan lepas makan, mintak izin ngan mama nak tengok tv. Mama kasi tengok tv kejap. Dalam sejam je. Pastu kena buat kerja sekolah. 

Lepas maghrib setiap hari mama akan mengajar mengaji. Mama ajar jugak anak jiran mengaji. Mungkin sebab mama ngajar ngaji dan ngaja anak-anak PASTI mengenal ALLAH, Rasulullah dan mengenal islam inilah, mama cantik sangat kat sana. Kalau kami malas nak ngaji, mama paksa jugak suruh mengaji. Rupa-rupanya memang ada hikmah. Sebab lepas ngaji kena ulangkaji. Jadi hati ni tenang je. Senang je nak masuk dalam kepala. Baca sekali boleh ingat. Lepas ulangkaji terus kena tidur. Tak leh tengok tv. Kalau hari minggu je boleh tengok tv lama sikit dari biasa.

Sebelum tidur, selalunya mama akan cerita-cerita kisah Rasulullah dan rasul-rasul yang lain kepada kami. Kisah nabi Nuh, nabi Musa, nabi Isa, Nabi Ibrahim. Mama cerita juga kisah-kisah sahabat nabi pada kami.

Kalau hari minggu atau cuti sekolah. Kadang-kadang nak dengar juga radio, mama kasi. Tapi bersyarat. Kena dengar ikim.fm je. hehe :) Mama tak suka anak dia dengar lagu selain nasyid dan zikir. Sekarang anak dia nakal sikit. Adusss.. Tapi memang patut mama tak bagi dengar. Kalau hati kita jaga, tak dengar lagu mengarut-ngarut. Sebenarnya hati kita memang tenang. 

Mama garang. Bukan garang tapi tegas. Kalau masuk waktu solat, mama suruh pergi solat. Kalau jawab "kejap laa.. kejap." Mama datang bawak rotan. Kalau pakai baju singkat ke tudung singkat ke, mama tak kasi. Mama marah. Mama kata, "kalau anak dia sayang dia, anak dia takkan buat benda yang ALLAH larang. Anak dia takkan buat sesuatu yang boleh menyebabkan dia kena bakar dalam api neraka." Moga mama dalam jagaan ALLAH. 

Dan mungkin sebab mama memang sentiasa hidup sederhana. Sepanjang hidup saya dengan mama, kami tak pernah pergi bercuti luar negara ke. Kalau dalam negara pun setakat pergi rumah sedara mara je. Mama tak pernah minta macam-macam dengan abah. 

Moga mama tenang di sana. Rindu sangat mama. Rindu banyak-banyak.. Moga ALLAH pertemukan kami kembali di firdausi ~

1 comment: